Monday, June 1, 2020

FAM umum batal Piala Belia, Piala Presiden & MPFL musim 2020


Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini secara rasmi mengumumkan pembatalan tiga pertandingan di bawah kelolaannya iaitu Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) bagi musim 2020 ini.

Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM mahu memastikan aktiviti dan pertandingan bola sepak dan futsal di peringkat kebangsaan ini dapat diteruskan semula dengan selamat selepas ia ditangguhkan berkuat kuasa pada 16 Mac 2020 berikutan penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, seperti yang semua sedia maklum, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah bermula pada 18 Mac 2020 kini masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.

Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan, bola sepak telah dikategorikan sebagai sukan bersentuhan yang dilarang oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia hanya boleh dijalankan sebagai aktiviti riadah dengan penjarakan sosial satu meter dan tidak melebihi 10 individu. Namun, sebarang penganjuran perlawanan atau pertandingan masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB ini.

Sementara bagi futsal pula selain daripada boleh dikategorikan sebagai sukan bersentuhan, ia turut tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB ini kerana semua jenis aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor) adalah termasuk dalam senarai aktiviti sukan yang dilarang oleh MKN.

Selepas meneliti garis panduan berkenaan, untuk FAM meneruskan penganjuran Piala Presiden, Piala Belia dan MPFL bagi baki musim 2020 ini, keutamaan perlu diberikan terhadap aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan iaitu dalam memastikan keselamatan dan kesihatan semua individu yang perlu hadir ke venue latihan dan perlawanan adalah terjamin.

Tambahan pula terdapat sesetengah pasukan dalam pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia menggunakan padang terbuka sebagai venue mereka selaku tuan rumah, sekali gus menyebabkan kesukaran untuk mengawal pematuhan SOP penganjuran perlawanan.

Begitu juga bagi pertandingan MPFL yang mana semua jenis aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor) dilarang oleh MKN, sekali gus bakal menyebabkan beberapa halangan terpaksa dihadapi dalam mendapatkan kelulusan bagi SOP pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan.

Tanpa kepastian sama ada tempoh PKPB akan berakhir pada 9 Jun 2020 atau terus dilanjutkan, FAM terpaksa membuat keputusan sekarang dan tidak boleh menunggu atau menangguhkan lagi keputusan ini kerana ia hanya akan menjejaskan kedudukan para pemegang taruh yang terlibat.

Keputusan ini dibuat selepas FAM melakukan kajian, penelitian dan siri perbincangan dalaman, selain memperhalusi garis panduan dan SOP serta nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama berkaitan penganjuran perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia di padang terbuka serta larangan aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor) yang mana ia melibatkan perlawanan MPFL.

Oleh yang demikian, setelah mengambil kira hal-hal pengoperasian dan kebajikan semua pemegang taruh industri bola sepak dan futsal, FAM dengan berat hati membuat keputusan untuk membatalkan terus pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan MPFL bagi musim 2020 ini berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Keputusan pembatalan ketiga-tiga pertandingan ini dibuat berdasarkan Artikel 3 Peraturan Pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2020 serta Artikel 2 Peraturan Pertandingan MPFL 2020.



PERTANDINGAN PIALA PRESIDEN & PIALA BELIA 2020:

1. Oleh kerana sesetengah venue dan fasiliti pertandingan tidak memenuhi kriteria SOP pengendalian perlawanan untuk dilangsungkan secara tertutup tanpa penonton, ia akan menyebabkan kos pengendalian setiap perlawanan akan bertambah bagi memastikan semua SOP keselamatan dan kesihatan yang diperlukan dapat dipatuhi.

2. Penganjuran perlawanan di venue padang terbuka juga akan menyebabkan kesukaran pihak tuan rumah untuk mengawal daripada berlakunya perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering).

3. Bagi memastikan pemain-pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2020 yang berpotensi dapat diserapkan ke pasukan utama kelab mereka, FAM dan Malaysian Football League (MFL) akan membuka pendaftaran khas untuk pemain-pemain ini mendapat peluang beraksi pada baki saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier 2020 tanpa sebarang had pendaftaran.

4. Selain itu, bagi menjamin kesinambungan kerjaya pemain-pemain yang berusia 21 tahun pada tahun 2020 ini daripada terjejas akibat pembatalan saingan musim ini, had umur pertandingan Piala Presiden 2021 akan dinaikan kepada usia 22 tahun, sekali gus membolehkan pemain-pemain yang lahir pada tahun 1999 ini masih lagi layak untuk beraksi pada saingan musim depan.



PERTANDINGAN MPFL 2020:

1. Perlawanan perlu diadakan di kawasan tertutup (indoor) yang sudah tentu merupakan aktiviti sukan yang dilarang oleh MKN untuk dijalankan sebarang pertandingan terutamanya bagi tempoh beberapa bulan yang akan datang ini.

2. Venue perlawanan di kawasan tertutup (indoor) ini juga memerlukan kos lebih tinggi untuk memastikan semua SOP keselamatan dan kesihatan yang diperlukan dapat dipatuhi, selain akan menyebabkan kesukaran kepada pasukan tuan rumah untuk menyewa venue yang bersesuaian dan memenuhi kriteria.



Justeru, dengan keutamaan FAM adalah untuk menjamin kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terlibat terutamanya pemain-pemain muda serta selepas mengambil kira tempoh masa penangguhan pertandingan, kos penganjuran perlawanan dan pengendalian SOP yang tinggi, FAM pada masa ini tiada pilihan selain membatalkan terus ketiga-tiga pertandingan ini, selain ia dapat membantu mencegah penularan pandemik COVID-19.

Dalam menjaga hal kebajikan pemain dan pegawai, selain telah membuka ruang untuk para pemain Piala Presiden dan Piala Belia didaftarkan ke pasukan Liga Super dan Liga Premier musim ini serta menaikkan had umur Piala Presiden 2021 kepada usia 22 tahun, FAM turut berharap agar semua pasukan yang terlibat dapat menghormati kontrak masing-masing.

Jika terpaksa melakukan pembatalan kontrak, FAM mengarahkan supaya pasukan mengikut Akta Kontrak 1950 dan mewajibkan pasukan untuk membayar minimum 25 peratus daripada jumlah baki kontrak yang ada sebagai pembayaran ex-gratia (pampasan/ganti rugi) kepada pemain dan pegawai.

Bagi perlawanan-perlawanan musim 2020 ini yang telah pun berlangsung sebelum ia ditangguhkan pada 16 Mac 2020 iaitu setakat Hari Perlawanan 4 bagi Piala Presiden, Hari Perlawanan 5 bagi Piala Belia dan Hari Perlawanan 1 bagi MPFL, kesemua keputusan perlawanan tersebut adalah dibatalkan.

Dengan itu, tiada pasukan yang akan bergelar juara bagi ketiga-tiga pertandingan ini bagi musim 2020 dan pertandingan akan dimulakan semula untuk musim baharu 2021 pada awal tahun depan.

Untuk makluman juga, keputusan yang dibuat FAM ini adalah berlainan daripada ketetapan dibuat MFL yang mana mereka akan membuat permohonan semula selepas berakhirnya tempoh PKPB nanti untuk "Kelonggaran Khas" diberikan bagi penganjuran baki saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier 2020.



Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

No comments:

Post a Comment