Saturday, August 22, 2020

Budak 2 tahun maut dipercayai didera bapa tirinya yang mabuk


Seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di kediaman mereka di Petaling Jaya. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 11.44 malam tadi yang menyatakan mangsa tidak sedarkan diri di rumah selepas ibunya menghubungi pihak polis. 

Mangsa kemudian dibawa ke hospital dan pemeriksaan mendapati, terdapat kesan kecederaan di bahagian belakang kepala yang dipercayai akibat hentakan. 

Difahamkan, ibu mangsa ada bertengkar dengan suspek berusia 26 tahun sebelum wanita itu keluar rumah untuk membeli makanan. Sekembalinya ke rumah, dia mendapati suspek sudah tiada dan menemui anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri. 

Polis kini sedang menunggu hasil bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa.

Suspek, Jettendraj Balu yang bekerja sebagai pemandu e-hailing telah ditahan polis hari ini dan akan direman untuk membantu siasatan. 

Polis kini sedang menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Menceritakan semula saat kejadian itu berlaku, ibu mangsa, Nany, 23, memaklumkan Jettandraj adalah suaminya yang juga merupakan bapa tiri kepada mangsa, M Varun, berusia dua tahun. 

"Kebiasaannya suami saya seorang penyayang dengan anak tirinya dan sering bermain bersama. Cuma semalam dia pulang dalam keadaan tidak seperti orang normal dan kemungkinan mabuk dan tidak pasti apa yang berlaku sehingga anak sudah tiada. 

"Sebelum saya keluar 10.50 malam untuk membeli makanan, dia masih melayan anak dengan baik. Namun sebaik pulang ke rumah 10 minit kemudian, saya terkejut anak sudah tidak sedarkan diri," katanya. 

Difahamkan ketika kejadian itu berlaku, penyewa rumahnya ada di dalam bilik tetapi tidak keluar walaupun terdengar mangsa sedang menangis. 

Sebelum kejadian itu, Nany sempat merakam video anaknya makan coki sekitar jam 7 malam dan video itu kini menjadi simpanan dan kenangan terakhirnya bersama mangsa. 

Nany juga ada bertemu dengan suaminya selepas ditahan polis di mana lelaki itu menangis dan bertanya apakah benar dia yang melakukan perbuatan itu. 

Jelas Nany, sepanjang perkahwinan mereka selama enam bulan, suaminya tidak pernah bertindak ganas. Beberapa minggu lepas, mereka bertiga sempat bercuti ke Johor dan Perak. 

"...saya tidak pasti apa yang berlaku sebenarnya dan saya reda atas apa yang berlaku. Cuma saya kemungkinan akan pulang ke kampung dan berhenti kerja," katanya.

Sumber: Harian Metro


Apa pandangan anda tentang perkara ini? sila komen di bawah ye! Terima Kasih!!!!
Sumber : thereporter.my

No comments:

Post a Comment