Tuesday, September 22, 2020

Atas permintaan ramai, Airport Staycation di KLIA diteruskan Lagi

Kepada ibu bapa yang terlepas peluang untuk membawa anak-anak mereka merasai pengalaman Airport Staycation yang dianjurkan oleh KLIA dan Sama-Sama Hotel KLIA bulan lepas, inilah peluang anda untuk merasainya!

Airport Staycation ini adalah salah satu usaha Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk menarik minat rakyat Malaysia untuk menjadikan KLIA sebagai sebuah destinasi percutian, selain daripada merancakkan semula aktiviti pelancongan dalam negara selepas terkesan daripada pandemik Covid-19.

Airport Staycation yang pertama dianjurkan sempena Hari Kemerdekaan hujung bulan lepas mendapat sambutan yang baik sehingga ia habis ditempah dalam tempoh dua hari sahaja. Atas sambutan yang baik ini, MAHB berhasrat untuk meneruskan lagi program ini dan untuk bulan September ini, ia akan diadakan pada 26 dan 27 September.

Airport Staycation ini menawarkan percutian 2-hari/1-malam kepada ibu bapa dengan dua orang anak di bawah umur 11 tahun untuk menikmati penginapan di Sama-Sama Hotel bersama sarapan pagi dan pelbagai keistimewaan yang lain.

Tarikan utama Airport Staycation ini adalah peluang untuk ibu bapa dan anak-anak merasai sendiri pengalaman sebagai anggota Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS). Ini termasuklah pengalaman menaiki trak bomba dan menggunakan alat-alatan memadam kebakaran. 

Kanak-kanak juga turut dilatih cara-cara untuk menyelamatkan diri dari bangunan yang sedang terbakar dalam satu program simulasi yang selamat. Jadi ibu bapa tidak perlu risaukan keselamatan anak-anak mereka kerana latihan ini dilakukan dalam persekitaran yang dikawal serta selamat. Sewaktu Airport Staycation yang pertama berlangsung, ada juga kanak-kanak yang mahu mengulang semula pengalaman tersebut kerana seronok.

Untuk anak-anak yang meminati kulinari pula, program Chef Cilik turut dibawakan semula di Sama-Sama Hotel. Inilah peluang anak-anak anda menunjukkan bakat terpendam sebagai chef muda.

Untuk ibu bapa pula, anda akan mendapat akses istimewa kepada KLIA Crazy Sales dan juga potongan istimewa sebanyak 50% untuk hidangan makanan dan minuman sekeluarga di restoran-restoran di dalam Sama-Sama Hotel. Anda seisi keluarga juga akan mendapat akses percuma kepada kolam renang hotel sepanjang penginapan anda.

Pada harga RM440 nett, Airport Staycation kali ini adalah pada 26 hingga 27 September 2020. Tempahan telah dibuka dan jika anda berminat untuk menyertai program ini, anda boleh menghubungi Jabatan Tempahan Sama-Sama Hotel di talian 03-8787333 atau emel kepada reservations@samasamahotels.com.




Apa pandangan anda tentang perkara ini? sila komen di bawah ye! Terima Kasih!!!!
Sumber : thereporter.my

No comments:

Post a Comment