Wednesday, September 30, 2020

Pekebun terbunuh pencuri pisang, terlepas hukuman gantung

Seorang pekebun pisang yang menghadapi pertuduhan membunuh, terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu hari ini meminda pertuduhan terhadapnya kepada menyebabkan kematian.


Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun bermula dari tarikh tangkap pada 3 Dis 2018 ke atas Ismail Mohd Don, 40, setelah didapati bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki yang cuba mencuri pisang tanamannya.


Sebelum ini, Ismail didakwa atas pertuduhan membunuh Salahuddin Ismail, 46 di luar sebuah rumah di Kampung Tebakang Payong, Marang, pada 3.15 petang, 3 Dis 2018, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.


Mahkamah meminda pertuduhan kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.


Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata berdasarkan keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan, mangsa didapati telah melakukan provokasi hingga menyebabkan Ismail marah, namun dia tidak menunjukkan sebarang tindakan seolah-olah berniat untuk membunuh mangsa.


Tambahnya, tertuduh memukul mangsa sekali sahaja dengan menggunakan sebatang besi dan setandan pisang kerana terlalu marah dan dia tidak menggunakan senjata tajam meskipun memilikinya ketika itu malah mangsa didapati masih hidup ketika bersama dengan tertuduh.


Abdul Wahab berkata mahkamah turut mengambil kira pembelaan tertuduh bahawa dia tertekan ekoran sumber pendapatan yang ditunggu hampir sembilan bulan telah dicuri oleh mangsa.


Sementara itu, keluarga tertuduh yang turut berada di dalam bilik mahkamah dilihat menangis dan menadah tangan sebagai tanda kesyukuran susulan keputusan tersebut.


Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil 15 orang saksi manakala pembelaan mengemukakan dua orang saksi.


Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Amer Abu Bakar Abdullah memberitahu mahkamah bahawa tertuduh mempunyai tiga sabitan lampau iaitu berkaitan kes dadah dan pukul.


Selain Amer, pihak pendakwaan turut dikendalikan TPR Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Che Amir Che Musa.


Sumber: Bernama


LAPORAN BERKAITAN


Apa pandangan anda tentang perkara ini? sila komen di bawah ye! Terima Kasih!!!!
Sumber : thereporter.my

No comments:

Post a Comment