Monday, October 19, 2020

Covid-19: 865 kes positif, 3 kematian & 99 kes sedang dirawat di ICU

Jumlah kes baharu harian COVID-19 di Malaysia mencatatkan angka lebih daripada 800 untuk tiga hari berturut-turut, apabila 865 kes dilaporkan hari ini dan menjadikan angka keseluruhan sebanyak 21,363 kes.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus tersebut sebanyak 7,456 kes.


Beliau berkata tiga kematian dilaporkan hari ini dengan kesemuanya di Sabah, menjadikan kes kumulatif kematian di Malaysia akibat pandemik itu setakat ini 190 kes.


Selain itu, beliau memaklumkan Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih COVID-19 sebanyak 455 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 13,717 atau 64.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.


“Pecahan kes yang telah pulih COVID-19 mengikut negeri adalah Sabah (226 kes), Selangor (107 kes), Kedah (97 kes), Johor (13 kes), Terengganu (lima kes), Negeri Sembilan (tiga kes), Sarawak (dua kes), Pahang (satu kes) dan Labuan (satu kes),” katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di sini hari ini.


Beliau berkata daripada 865 kes baharu yang dilaporkan, terdapat tujuh kes import mendapat jangkitan dari luar negara, termasuk tiga warganegara iaitu dari China (empat kes di Selangor), Australia (satu kes di Kuala Lumpur), Amerika Syarikat (satu kes di Selangor) dan Qatar (satu kes di Selangor).


Daripada 858 kes penularan di dalam negara pula, katanya 767 kes adalah warganegara dengan lima kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Negeri Di Bawah Bayu itu sejak 20 Sept adalah sebanyak 448 kes.


Menurutnya lagi, Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 643 kes (74.3 peratus) dengan lebih banyak ujian makmal dapat dijalankan di negeri itu dan yang dihantar ke Semenanjung Malaysia, sementara negeri-negeri di Lembah Klang pula merangkumi 13.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.


Memperincikan jumlah kes penularan dalam negara, Dr Noor Hisham berkata selain Sabah dengan 643 kes, Selangor (101), Labuan (34), Pulau Pinang (26), Perak (18), Melaka (16), Kuala Lumpur (enam), Negeri Sembilan (empat), Kedah dan Putrajaya masing-masing (tiga), Johor (dua) manakala Pahang dan Terengganu masing-masing satu kes.


Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan, sebanyak 154 kes (17.8 peratus) pada hari ini adalah daripada Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster Tembok dan termasuk empat kes saringan tahanan Penjara Tapah. 


“Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat,” katanya.


Sehingga kini, terdapat 99 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 32 memerlukan bantuan pernafasan.


Selain itu, Kementerian Kesihatan juga mengenal pasti dua kluster baharu, menjadikan kluster aktif di Malaysia setakat ini sebanyak 87.


Sumber: Bernama


Apa pandangan anda tentang perkara ini? sila komen di bawah ye! Terima Kasih!!!!
Sumber : thereporter.my

No comments:

Post a Comment