Thursday, November 12, 2020

ABPBH boleh dianjurkan dengan syarat ketat, tetapi KKMM & MKN akan bincang semula - Ismail Sabri


Penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dikategorikan sebagai industri kreatif yang tidak tersenarai di bawah senarai terlarang, dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Menurutnya oleh kerana ABPBH tidak disenaraikan di bawah senarai terlarang PKPB, penganjur ABPBH berkenaan tidak mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Jawatankuasa Teknikal MKN yang dipengerusikannya, berhubung penganjuran acara itu.


“Tapi, saya lihat oleh kerana banyak bantahan seperti ini di media sosial, Insya-Allah Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Datuk Saifuddin Abdullah) tentu sekali tahu perkara ini, saya serahkan kepada KKMM untuk berbincang dengan MKN sekiranya ada perubahan,” katanya dalam sidang media harian pelaksanaan PKP Pemulihan di sini hari ini.


Sebelum ini terdapat gesaan daripada banyak pihak supaya penganjuran ABPBH dibatalkan, kerana bimbang kemungkinan tiada penjarakan fizikal walaupun pihak penganjur memberi jaminan patuh pada SOP seperti diadakan secara maya dan tiada penonton.


Ismail Sabri berkata berbeza dengan penganjuran aktiviti bola sepak yang melibatkan sentuhan fizikal dan rentas negeri, sukan itu juga di bawah senarai perkara terlarang dalam SOP PKPB yang pertama diperkenal dahulu kerana membahayakan pemain. 


“Manakala persembahan hiburan telah pun dimasukkan dalam SOP PKPB yang lepas (lama) adalah di luar daripada perkara negative lists (senarai negatif)… sebab itu tiada rayuan dibuat daripada penganjur hiburan yang dibuat kepada saya atau Sidang Khas MKN.


“Mereka (penganjur hiburan) mungkin ikut SOP yang diputuskan bersama KKMM (Kementerian  Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan MKN dulu apabila kita umumkan kebenaran seperti SOP yang ketat tiada penonton, wajib pakai pelitup muka dan jumlah kru yang minimum serta dipantau oleh polis dan KKM. Jika ada perlanggaran, penganjur akan diambil tindakan, saya difahamkan begitu,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata kebenaran berjumpa bagi pasangan jarak jauh atau lebih dikenali ‘PJJ’ antara suami dan isteri adalah dibenarkan sepanjang tempoh PKPB, bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada kelulusan polis. 


“Mungkin ada suami bekerja di Kuala Lumpur dan isteri di tempat lain atau hujung minggu nak jumpa anak-anak, kita benarkan,” katanya.


Sumber: Bernama


Apa pandangan anda tentang perkara ini? sila komen di bawah ye! Terima Kasih!!!!
Sumber : thereporter.my

No comments:

Post a Comment