Wednesday, November 18, 2020

Anak tikam bapa sebab berang ditegur leka bermain handphone


Dipercayai akibat perselisihan faham, seorang lelaki maut selepas ditikam oleh anak lelakinya sendiri dalam kejadian di Kampung Simpang Pertang, Jelebu  pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Jelebu DSP Maslan Udin berkata pihaknya menerima maklumat  tentang kejadian daripada orang awam yang menemukan mangsa, Tan Yin Fah, 59, terbaring berlumuran darah berhampiran pintu rumah kira-kira 9.30 pagi.


“Berdasarkan siasatan awal, berlaku pertengkaran mulut di antara suspek yang berusia 35 tahun itu dengan bapanya, 59 yang menegur suspek kerana terlalu leka bermain telefon bimbit.


“Ketika bertengkar, mangsa juga memukul suspek dengan kerusi plastik menyebabkan suspek bertindak menikam mangsa pada bahagian depan dan belakang badan,” katanya ketika dihubung di sini.


Menurutnya suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal sebelum berjaya ditahan polis kira-kira 20 minit selepas kejadian.


Maslan berkata siasatan awal juga mendapati suspek tinggal dengan ibu bapanya di rumah itu selain tidak bekerja susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.


Ketika kejadian, hanya suspek dan bapanya berada di rumah itu, katanya.


Maslan berkata pihaknya masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Sumber: Bernama


Apa pandangan anda tentang perkara ini? sila komen di bawah ye! Terima Kasih!!!!
Sumber : thereporter.my

No comments:

Post a Comment