Saturday, November 7, 2020

'Belanjawan 2021 tak pedulikan nasib mahasiswa' - PKPIM


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mendakwa, Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan di Parlimen semalam tidak mempedulikan nasib mahasiswa kerana tiada sebarang insentif mahupun bantuan khas. 


Presiden PKPIM, Ahmad Farhan Rosli berkata, Belanjawan 2021 adalah anggaran perbelanjaan terbesar dalam sejarah negara berjumlah RM322.5 bilion. Daripada jumlah itu, hanya peruntukan sebanyak RM14.4 bilion diberikan kepada Kementerian Pengajian Tinggi, tetapi tiada langsung peruntukan untuk golongan mahasiswa. 


Sedangkan dalam tempoh yang sukar ini, mahasiswa juga berdepan dengan masalah kesukaran dan adalah wajar kerajaan menyediakan bantuan one-off bernilai RM300 melalui Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT-Kad Siswa) yang dihentikan pada tahun ini. 


"Berdasarkan rekod lalu, peruntukan bantuan BPPT dikurangkan dengan suatu jumlah sangat besar iaitu RM400 juta pada 2018 kepada RM120 juta pada 2019 dan sangat mendukacitakan apabila tiada langsung peruntukan sedemikian untuk tahun 2020 dan 2021. 


"Ini sekali gus bakal menimbulkan keresahan dan kesulitan mahsiswa yang genting dalam situasi ekonomi tidak menentu kini," katanya. 


Selain itu, PKPIM turut mempersoalkan pengurangan peruntukan Biasiswa Pendidikan Tinggi dalam Belanjawan 2021 daripada RM170 juta pada 2020 kepada RM161.5 juta pada 2021. 


PKPIM berharap belanjawan itu disemak semula bagi memastikan hak, keperluan dan kebajikan mahasiswa tidak dipinggirkan dalam keadaan golongan mahasiswa yang berhadapan dengan masalah ekonomi yang sangat meruncing. 


Sumber: Sinar Harian


Apa pandangan anda tentang perkara ini? sila komen di bawah ye! Terima Kasih!!!!
Sumber : thereporter.my

No comments:

Post a Comment