Wednesday, November 18, 2020

'JASA bukan berperanan sebagai Cybertrooper' - MP Sibuti pertahan kewujudan JASA dalam Kerajaan


Seorang Ahli Parlimen hari ini bangkit mempertahankan kewujudan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dikatakan bukan berperanan sebagai ‘cybertrooper’ atau lasykar siber.


Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang merupakan bekas pegawai jabatan itu berkata sebaliknya, Jasa adalah sebuah jambatan gerak saraf yang diwujudkan 40 tahun lepas bagi menyalurkan maklumat kepada kerajaan.


"Memang saya terkesan dengan komen rakan-rakan tentang Jasa memandangkan Jasa bukanlah cybertrooper. Saya tidak akan menjadi ahli Parlimen sekiranya saya bekerja untuk menjadi cybertrooper ketika berada dalam Jasa,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan) di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata pemansuhan Jasa sebelum ini juga telah menyebabkan ramai individu berdepan kehidupan yang sukar.


"Ada yang menjadi pembancuh simen, ada juga saya jumpa rakan-rakan Jasa di Parlimen yang bekerja sebagai tukang hidang minuman sedangkan mereka mempunyai ijazah. Ada juga pegawai Jasa yang menghampiri tugas 15 tahun telah diberhentikan sedangkan mereka hanya tinggal beberapa minggu saja lagi untuk mendapatkan pekerjaan tetap dalam sektor kerajaan," katanya.


Berkongsi pengalaman, Lukanisman berkata Jasa pernah ke Ba'kelalan, Sarawak bagi membina sebuah padang futsal memandangkan fasiliti berkenaan diperlukan masyarakat di kawasan itu.


Malah, beliau sendiri pernah terlibat menjelajah ke seluruh negara bagi mengumpul maklumat untuk disampaikan kepada kerajaan.


Dalam pada itu, beliau mencadangkan ketua pengarah Jasa yang baharu perlu dilantik dalam kalangan pegawai tadbir dan diplomatik dan bukan ahli parti politik atau yang mempunyai kepentingan tertentu.


Selain itu, peruntukan yang diberi kepada jabatan itu melalui Belanjawan 2021 juga diharap dapat digunakan untuk membantu rakyat.


Sementara itu, Baru Bian (PSB-Selangau) sebaliknya berpendapat peruntukan RM85.5 juta yang disalur kepada Jasa adalah lebih baik digunakan untuk menyambung rangkaian internet bagi 830 sekolah di Sarawak.


"Adalah tidak masuk akal untuk kerajaan memberikan peruntukan yang begitu besar kepada agensi kerajaan yang menjadi alat propaganda parti memerintah," katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu.


Persidangan dewan bersambung esok.


Sumber: Bernama


Apa pandangan anda tentang perkara ini? sila komen di bawah ye! Terima Kasih!!!!
Sumber : thereporter.my

No comments:

Post a Comment