Friday, November 20, 2020

Kereta BMW dipandu laju, terbabas selepas lalu lopak air & langgar penunggang motosikal


Di musim hujan, para pengguna jalan raya haruslah berhati-hati dan tidak memandu terlalu laju bagi menjaga keselamatan diri dan juga pengguna jalan raya lain. 


Tetapi ramai yang selalu tidak mengendahkan pesanan tersebut dan baru-baru ini berlaku kemalangan yang tidak diingini di mana seorang penunggang motosikal dilanggar kereta dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Sunway, semalam. 


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, dalam kejadian pada jam 5 petang di Kilometer 39.3 Lebuhraya Shah Alam (KESAS), sebuah kereta jenis BMW dipandu laju oleh lelaki berusia 28 tahun di lorong kanan hilang kawalan selepas melanggar lopak air.


Kereta BMW itu terus terbabas dari lorong kanan ke lorong kiri dan menghentam motosikal Yamaha LC yang ditunggang mangsa berusia 27 tahun. 


Mangsa yang cedera di bahagian buku lali terus dikejarkan ke Hospital Shah Alam dan keadaannya kini dilaporkan stabil. 


Sementara itu, pemandu BMW tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun keretanya mengalami kerosakan di bahagian hadapan. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta menghubungi Inspektor Nasser Peping di talian 012-2863875 untuk membantu siasatan. 



Sumber: Harian Metro, Info Roadblock JPJ/POLIS


Apa pandangan anda tentang perkara ini? sila komen di bawah ye! Terima Kasih!!!!
Sumber : thereporter.my

No comments:

Post a Comment