Wednesday, November 11, 2020

(Video) 'Saya tak nak sign, saya tak bersalah ma' - Lelaki ini disaman sebab guna handphone ketika memandu, tapi dia viralkan video kata polis saman sebab wife duduk sebelah


Viral di media sosial status Facebook seorang lelaki bernama Eric Chia yang mendakwa dia telah disaman oleh polis trafik atas kesalahan membenarkan isterinya duduk di tempat duduk penumpang hadapan. 


Dakwaannya lelaki itu membuatkan netizen percaya dan mula meluahkan kemarahan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menyangka penumpang perlu duduk di kerusi penumpang belakang kononnya prosedur standard operasi (SOP) baharu bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 


Malangnya, bukan itu cerita yang sebenarnya berlaku dan Polis Melaka telah tampil membuat penafian terhadap dakwaan Eric Chia itu dan menjelaskan, lelaki itu sebenarnya telah disaman atas kesalahan trafik yang lain. 


Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Hasan Basri berkata, Eric Chia telah memuat naik video berdurasi 30 saat di tersebar meluas di media sosial dengan maklumat yang diputar belit tanpa menyatakan hal yang sebenarnya berlaku. 


"Dalam kejadian itu, seorang sarjan telah menahan sebuah kereta jenis Hyundai Sonata di Jalan Dato Md Zain di sini pada pukul 11.08 pagi semalam dan mengeluarkan saman kepada pemandu atas kesalahan memandu sambil menggunakan telefon bimbit di tangan kiri. 


"Kesalahan itu telah dilihat oleh anggota pemerhati kira-kira 250 meter sebelum lokasi sekatan jalan raya (SJR) yang melaporkannya kepada sarjan berkenaan untuk diambil tindakan," katanya. 


Ketika ditahan, Eric Chia menafikan kesalahan itu dan mendakwa telefon itu digunakan oleh penumpang di sebelahnya, iaitu isterinya sendiri. 


Seperti yang ditunjukkan dalam video, Eric Chia enggan menurunkan tandatangan pada notis saman yang dikeluarkan dan dalam masa yang sama isterinya membuat rakaman video tanpa pengetahuan anggota berkenaan. 


Disebabkan kedegilan Eric Chia, sarjan berkenaan menulis 'Enggan Tandatangan' (ETT) dan diserahkan kepada Eric Chia dan memintanya pergi ke mahkamah sekiranya tidak berpuas hati dengan saman tersebut. 



Jam 7.17 malam, sarjan berkenaan menyedari video insiden itu diviralkan oleh Eric Chia dengan kenyataan yang telah diputar belit menyebabkan dia membuat satu laporan polis mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Di bawah akta itu, jika Eric Chia didapati bersalah dia boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. 


Sekiranya wujud bukti berlakunya fitnah, polis juga akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan. 


Disebabkan tindakannya itu, Polis Melaka kini sdang mencari Eric Chia kerana telah menjejaskan imej PDRM sehingga mencetuskan kemarahan netizen terhadap PDRM.


Polis memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak membuat rakaman dengan sewenang-wenangnya dan menyebarkan video yang boleh mengelirukan orang ramai atau berdepan dengan tindakan undang-undang. 


Sementara itu bagi menjelaskan kekeliruan rakyat akibat kenyataan fitnah Eric Chia itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan, tiada ketetapan dibuat mengenai penumpang duduk di depan atau belakang dalam mana-mana kenderaan. 


Namun, mereka yang berada dalam sesebuah kenderaan itu haruslah datang dari keluarga atau rumah yang sama. 



Sumber: Kosmo, WapCar


Apa pandangan anda tentang perkara ini? sila komen di bawah ye! Terima Kasih!!!!
Sumber : thereporter.my

No comments:

Post a Comment